KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Kemeriahan program berbuka puasa beramai-ramai, Iftar@Kuala Lumpur 2019 (Iftar@KL 2019) bukan sahaja menyemarakkan bulan Ramadan dalam kalangan umat Islam, malah turut memikat pelancong asing untuk mengenali budaya agama Islam dengan lebih dekat.

Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang memasuki tahun kelapan penganjurannya itu berjaya menggamit pengunjung antarabangsa di ibu negara untuk bersama-sama berbuka puasa serta melihat sendiri budaya masyarakat Islam negara ini menyambut Ramadan.

Pelancong dari Jerman, Veronica Kathleen, 40, melahirkan rasa teruja untuk bersama warga tempatan yang lain berbuka puasa dan merasai kemeriahan program itu.

"Ini pengalaman pertama saya berbuka puasa dalam suasana begini, dan saya rasa program ini begitu unik kerana tanpa mengenali semua yang datang tetapi masih lagi sama-sama duduk menikmati makanan (berbuka puasa)," katanya kepada Bernama selepas Majlis berbuka puasa Iftar@KL 2019 di sini hari ini.

Bagi pekerja swasta, Mansoor Ahmed, 43, dari Australia yang bekerja di Malaysia, berkata walaupun sudah lama berada di Malaysia, ini kali pertama dia menyertai program itu.

"Biasanya saya dan keluarga akan ke Bazar Ramadan berdekatan, beli makanan dan kemudian balik ke rumah, namun kali ini ia agak berbeza, dan saya terkejut melihat ramai organisasi dan sukarelawan turut serta.

"Program ini sudah tentu akan menarik lebih ramai pelancong asing ke Malaysia, kami merasa 'kehangatan' masyarakat di sini yang saya rasa tidak akan dapat di tempat lain, mempelajari agama dan budaya di sini adalah pengalaman berharga, inilah Malaysia sebenar," katanya yang sudah empat tahun menetap di Malaysia.

Dalam pada itu, pengusaha pakaian, Azlan Sofian, 23, berkata penganjuran Iftar@KL 2019 turut memberi pendapatan lumayan kepada rata-rata pengusaha Bazar Ramadan yang kali pertama diadakan di Dataran Merdeka tahun ini.

 

"Kalau masa awal-awal Bazar Ramadan di sini dibuka, nak dapatkan pelanggan agak sukar, tetapi dengan adanya program ini yang diadakan setiap hujung minggu, pelanggan di kedai saya semakin bertambah, kadang-kadang dah nak tutup kedai pun masih ada yang datang, bukan sahaja orang tempatan malah pelancong asing pun ada membeli di kedai saya," katanya. 

Program berteraskan pelancongan Islamik dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu merupakan program tarikan pelancong ke Malaysia untuk menikmati suasana Ramadan dan dihidangkan dengan juadah berbuka puasa secara percuma.

Program yang menyasarkan kira-kira 90,000 warga kota termasuk pelancong asing tahun ini berjaya mencatat kehadiran 66,839 pengunjung tahun lepas, termasuk 6,882 pelancong asing yang turut sama dalam acara berkenaan.

Program dijadual sebanyak enam kali, setiap Sabtu dan Ahad pada 11, 12, 18, 19, 25 dan 26 Mei ini diadakan berhadapan bangunan Panggung Bandaraya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. 

-- BERNAMA